Penjara Pudu atau dahulunya dikenali sebagai Pudu Goal terletak di Jalan Hang Tuah mula dibina pada tahun 1891 di atas tanah seluas 10 hektar. Pembinaan penjara tersebut telah dibuat secara berperingkat dan telah siap sepenuhnya pada tahun 1895.
Penjara Pudu siap dibina 1895 menyerupai Penjara Kindy Bogambia berbentuk X
Tembok penjara telah mula dibina pada Februari 1891 dan siap pada bulan Ogos 1892. Tembok ini dibina daripada batu bata yang dilepa dengan simen yang diimport dari negeri koloni British. Kos bagi pembinaan tembok ini sahaja berjumlah RM 15,360.90 (harga pada tahun 1800an).
Tembok Penjara Pudu siap dibina 1892
Bagi blok pentadbiran dan dapur pula, ia mula dibina pada tahun 1892 dengan kos pembinaan sebanyak RM28,700.00 dan RM 3,775.00 (harga pada tahun 1800an). Pada asalnya bangunan pentadbiran terdiri dua tingkat yang menempatkan pejabat “Gaoler", pejabat kerani, stor, bilik pemeriksaan dan bilik pengawal.
Reka bentuk untuk dapur penjara adalah menyerupai dapur "pauper hospital". Bangunan dapur ini mengandungi sebuah stor dan bilik timbang.
Bangunan asal dapur Penjara Pudu yang menyerupai "pauper hospital"
Sebelum bangunan utama penempatan banduan siap dibina, lima buah bangunan sementara telah dibina bagi menempatkan banduan-banduan yang menjalankan kerja-kerja pembinaan. Bangunan tersebut telah dibina dalam kawasan tembok penjara. Bangunan penempatan utama telah mula dibina pada bulan November, 1891 dan siap pada bulan Mac, 1892. Bangunan penempatan utama ini mengandungi 240 bilik menyerupai Penjara Kandy di Bogambia iaitu berbentuk X dan dibina setinggi tiga tingkat. Setiap blok dipisahkan oleh pintu pagar yang berkunci. Ia dibina dengan harga RM 84,886.00.
Pada tahun 1894 sewaktu lawatan Residen British, beliau telah mencadangkan agar dibuat pertambahan sebanyak 54 bilik lagi untuk disambung di Blok C dan D. Kerja-kerja penyambungan ini telah siap dibuat pada tahun 1895.
Blok D telah menempatkan bilik akhir dan bilik gantung. Dari tahun 1960 hingga 1993, seramai 180 pesalah telah menjalani hukuman gantung sampai mati disini.
Penempatan utama blok C dan D bangunan pertama didirikan pada tahun 1891
Bilik Gantung Penjara Pudu digunakan sejak 1960, seramai 180 pesalah menjalani hukuman disini
Muatan asal Penjara Pudu pada awal pembinaannya hanyalah seramai 600 orang pesalah. Setelah kemasukan yang kian meningkat, pembinaan baru telah dibuat, sehinggalan penjara ini mampu menampung 2,000 orang pesalah dengan kadar muatan selesa.
Pada tahun 1985 penjara bersejarah ini telah memcatatkan jumlah bilangan banduan yang tertinggi iaitu seramai 6,550 orang pada satu masa. Kesesakan ini memaksa banduan bergilir-gilir (shift) untuk tidur.
Bilik penempatan yang menjadi saksi pada tahun 1985 banduan terpaksa tidur bergilir-gilir kerana kesesakan.
Kumpulan banduan yang terawal menghuni penjara ini diambil dari daerah Jugra, Hulu Langat, Banting, Ampang, Klang dan Rawang. Sebelum penjara ini diwartakan sebagai penjara reman, terdapat beberapa kategori banduan telah ditempatkan iaitu banduan jatuh hukum, banduan akhir, banduan buang negeri, banduan buang tempatan, banduan seumur hidup dan banduan seumur hayat.
Penjara berusia lebih seratus tahun ini juga pernah mencatat sejarah hitam yang tersendiri iaitu pada tahun 1985, berlaku penawanan dua orang awam, iaitu Dr. Radzi Jaafar dan Dr. Abdul Aziz Abdul Majid oleh enam orang banduan reman yang diketuai oleh Jimmy Chuah. Penawanan berakhir selepas enam hari setelah banduan menyerah diri
Ruangan dalam penjara yang suatu ketika dahulu dipenuhi dengan banduan
Penjara yang banyak menceritakan kisah suka duka kepada jabatan ini telah mencatat rekod kerana muralnya yang menghadap Jalan Pudu dan Jalan Hang Tuah merupakan mural terpanjang di dunia iaitu sepanjang 384 meter dan tinggi 4.5 meter telah dilukis oleh banduan dengan menggunakan 2,000 liter cat
Mural sepanjang 384 meter dan tinggi 4.5 yang menghiasi tembok Penjara Pudu merupakan yang terpanjang di dunia
Kepesatan pembangunan persekitaran yang begitu cepat menyebabkan ciri-ciri keselamatan penjara unik ini semakin tergugat. Penjara Pudu yang sarat menyimpan 1001 kisah dan tauladan kepada Jabatan Penjara dan negara ini terpaksa ditutup pada jam 9.05 pagi 1 November 1996 setelah lebih 100 tahun digunakan. Tapak penjara yang terletak di kawasan segi tiga emas ini akan dibangunkan untuk tujuan komersial oleh Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan sebagai gantinya, UDA telah membina sebuah penjara baru iaitu Penjara Sungai Buluh yang mempunyai keluasan 89.03 hektar yang terletak lebih kurang 36 km dari Kuala Lumpur dan diberikan kepada Jabatan Penjara.
Kepesatan pembangunan disekeliling penjara bersejarah ini memaksa ianya ditutup buat selamanya
Dari Web Jabatan Penjara Malaysia.