Blog Widget by LinkWithin

Printing Galery

Tuesday, February 14, 2012

Tergamak seorang bapa memotong tangan anak nya!

Abah,Ita Nak Tangan Ita Balik,Cepatlah Bagi

Sepasang suami isteri – seperti pasangan lain di kota-kota besar meninggalkan anak-anak diasuh pembantu rumah semasa keluar bekerja.

Anak tunggal pasangan ini, perempuan berusia tiga setengah tahun.

Bersendirian di rumah, dia kerap dibiarkan pembantunya yang sibuk bekerja bermain di luar, tetapi pintu pagar tetap dikunci. Bermainlah dia sama ada berbuai-buai di atas buaian yang dibeli bapanya, ataupun memetik bunga raya, bunga kertas dan lain-lain di laman rumahnya.

Suatu hari dia terjumpa sebatang paku karat. Dia pun melakar simen tempat letak kereta ayahnya tetapi kerana diperbuat daripada marmar,lakaran tidak kelihatan. Dicubanya pada kereta baru ayahnya. Ya….kerana kereta itu bewarna gelap, lakarannya jelas. Apa lagi kanak-kanak ini pun melakarlah melahirkan kreativitinya. Hari itu bapa dan ibunya bermotosikal ke tempat kerja kerana minyak baru dinaikkan harga hari ini, 6hb Jun 2008. Semalam mereka tak sempat isi minyak kerana pulang lewat. Sampai je stesen minyak, atendan pam beritahu minyak dah habis…

Penuh sebelah kanan dia beredar ke sebelah kiri kereta. Dilakarnya gambar ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, lukisan ayam, kucing dan sebagainya mengikut imagina sinya. Kejadian itu langsung tak disedari si pembantu rumah.

Pulang petang itu, terkejut besar pasangan itu melihat kereta yang baru setahun dibeli dengan bayaran ansuran yang belum habis berbayar, berbatik-batik. Si bapa yang belum pun masuk ke rumah terus menjerit, 'Siapa punya kerja ni?'

Pembantu rumah yang tersentak dengan jeritan itu berlari keluar. Dia juga beristighfar. .Mukanya merah padam ketakutan tambah-tambah melihat wajah bengis tuannya.

Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, dia terus mengatakan 'Tak tahu… !'

'Saya tak tahu Tuan..! '

'Duduk di rumah sepanjang hari tak tahu, apa kau buat?' herdik si isteri lagi. bila anak yang mendengar suara ayahnya, tiba-tiba berlari keluar dari bilik. Dengan penuh manja dia berkata 'Ita buat ayahhh.. cantikkan!' katanya menerkam ayahnya ingin bermanja seperti selalu.

Dengan kasih murni seorang anak yang belum memahami apa-apa, menarik lembut poket seluar abahnya, manja.

Si ayah yang hilang sabar merentap ranting kecil pokok bunga kertas didepannya, terus dipukul bertalu-talu tapak tangan anaknya. Si anak yang tak mengerti apa-apa terlolong-lolong kesakitan sekaligus ketakutan.

Puas memukul tapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya. Si ibu cuma mendiamkan diri, mungkin setuju dan berasa puas dengan hukuman yang dikenakan.

Pembantu rumah melopong, tak tahu nak buat apa-apa, sungguh kesian dan teramat sedih, namun dia sangat takut. Si bapa cukup rakus memukul-mukul tangan kanan dan kemudian tangan kiri anaknya. Selepas merasa puas, si bapa masuk ke rumah dituruti si ibu. Pembantu rumah segera memeluk dengan penuh sayang dan duka, cepat-cepat menggendong anak kecil itu, membawanya ke bilik. Dilihatnya tapak tangan dan belakang tangan si anak kecil calar balar. Menangis teresak-esak keduanya dalam bilik.

Pembantu rumah memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air sambil dia menangis. Anak kecil itu pula terjerit-jerit menahan kepedihan sebaik calar-balar itu terkena air. Si pembantu rumah kemudian menidurkan anak kecil itu. Si bapa sengaja membiarkan anak itu tidur bersama pembantu rumah. Keesokkan harinya, kedua-dua belah tangan si anak bengkak. Pembantu rumah mengadu. 'Sapukan minyak gamat tu!' balas tuannya, bapa si anak.

Pulang dari kerja, dia tidak melayan anak kecil itu yang menghabiskan masa di bilik pembantu. Si bapa konon mahu mengajar anaknya. Tiga hari berlalu, si ayah langsung tidak menjenguk anaknya sementara si ibu juga begitu tetapi setiap hari bertanya kepada pembantu rumah. 'Ita demam..' jawap pembantunya ringkas. 'Bagi minum panadol tu,' balas si ibu.

Sebelum si ibu masuk bilik tidur dia menjenguk bilik pembantunya. Apabila dilihat anaknya ita dalam pelukan pembantu rumah, dia menutup semula pintu.

Masuk hari keempat, pembantu rumah memberitahu tuannya bahawa suhu badan Ita terlalu panas. 'Petang nanti kita bawa ke klinik. Pukul 5.00 siap' kata majikannya itu. Sampai waktunya si anak yang longlai dibawa ke klinik. Doktor mengarahnya ia dirujuk ke hospital kerana keadaannya serius.

Setelah seminggu di wad pediatrik doktor memanggil bapa dan ibu kanak-kanak itu. 'Tiada pilihan..' katanya yang mencadangkan agar kedua-dua tangan kanak-kanak itu dipotong kerana jangkitan yang sudah menjadi gangren sudah terlalu teruk. 'Ia sudah bernanah, demi nyawanya tangan perlu dipotong dari siku ke bawah' kata doktor. Si bapa dan ibu bagaikan terkena halilintar mendengar kata-kata itu.

Terasa dirinya tunggang terbalik, tapi apalah dapat dikatakan. Si ibu meraung merangkul si anak. Dengan berat hati dan lelehan air mata isterinya, si bapa terketar-ketar menandatangani surat kebenaran pembedahan.

Keluar dari bilik pembedahan, selepas ubat bius yang dikenakanhabis, si anak menangis kesakitan. Dia juga terpinga-pinga, melihatkedua- dua tangannya berbalut putih. Direnung muka ayah dan ibunya. Kemudian ke wajah pembantu rumah.

Dia mengerutkan dahi melihat mereka semua menangis. Dalam seksaan menahan sakit, si anak yang keletah bersuara dalam linangan air mata.

'Abah.. Mama… Ita tak buat lagi. Ita tak mau ayah pukul. Ita tak mau jahat. Ita sayang abah.. sayang mama.' katanya berulang kali membuatkan si ibu gagal menahan rasa.

'Ita juga sayang Kak Narti..' katanya memandang wajah pembantu rumah, sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung seperti histeria.

Tidak seorang pun yang melihat suasana itu tidak menangis….

'Abah.. bagilah balik tangan Ita. Buat apa ambil.. Ita janji tak buat lagi! Ita nak makan, macam mana? Nak main macam mana? Ita janji tak conteng kereta lagi,' katanya bertalu-talu. Bagaikan gugur jantung si ibu mendengar kata-kata anaknya. Meraunglah dia sekuat hati namun takdir yang sudah terjadi, tiada manusia dapat menahannya..

"Didiklah dan pukullah anak anda dengan penuh kasih sayang, bukan untuk lepaskan geram & marah anda…."

Dan Perempuan Baik Yang Bercinta, Pada Hari Valentine

'VALENTINE DAY'

Melihatkan sahaja tulisan itu pada akhbar yang aku baca, sekonyong-konyong aku sedar, aku pernah berada di situ. Aku pernah berpenampilan resah hanya untuk hadir pada tarikh 14 Februari, Aku pernah mengewap gusar pada rasa hari Valentine, dan hari ini, kenangan  itu menggeser lagi.

Muda.

Apa yang aku ingat, waktu itu aku masih muda, baru usai SPM. Aku menandai garis waktu itu, dengan muzik kegemaran aku. Sebagai gadis Melayu, aku tetap bermegah-megah dengan bahasa aku. Maka, kumpulan Slam, Ukay, Spring, adalah muzik yang tidak pernah berhenti bergemerencang dalam telinga. Lagu-lagunya, menjunjung cinta hingga ke bintang, bait rindunya dibenamkan hingga ke jurang Mariana, namun apa yang aku tidak tahu, lagu-lagu itu juga yang berdingkit-dingkit mendorong aku bagi mendamba cinta lelaki.

Masih remaja, masih muda, dan segala-galanya terlihat sangat luar biasa, lalu semuanya mahu dicuba. Dan akhirnya, aku jatuh cinta kepada lelaki itu.

Lelaki.

Aku menemuinya di rumah ibu saudara. Diberitahu, bahawa lelaki itu anak angkatnya, dan dia belajar tinggi di luar negara.

Pada pertama kali menatapnya, aduhai, perasaan aku terus berasa hening, sepertinya aku berangkat ke pulau tiada penghuni. Dan apabila dia tersenyum, ia melahap mentah-mentah jiwa aku.

Benarlah kata bijak pandai, cinta itu adalah kemenangan khayalan ke atas akal fikiran. Hanya dengan khayalan aku akan bahagia dengan lelaki itu, aku berani mengatakan aku sudah jatuh cinta.

Mujur, aku masih diyakinkan dengan satu lagi kata bijaksana, cinta akan hilang keindahannya, apabila tidak lagi dirahsiakan. Namun yang paling utama, waktu itu sebenarnya aku masih malu. Ya, aku perempuan, dan pasti malu itu adalah sesuatu yang sangat wajar.

Itulah bencana kepada perempuan pemalu yang jatuh hati. Ia akan menyeksa hati dengan hasrat yang diperam-peram. Namun, ia juga adalah kemujuran yang sangat besar, kerana pada ketika akal sudah kalah pada khayalan, pada ketika ajaran agama sudah dipermudah-mudahkan, masih ada benteng halus yang bernama malu, yang menjadi benteng akhir kepada iman.

Itulah seksanya. Mahu diluah, malu, mahu dibiarkan, terasa seksa. Dan pada ketika dunia terasa seperti digelapkan oleh awan hitam yang bernama cinta, hadirlah hari itu, 14 Februari, hari Valentine.

14 Februari.

Waktu itu, dengan hati yang sudah bengkak-bengkak menahan rasa cinta, aku duduk di sebelah ibu. Aku ingat lagi, waktu itu hujan renyai, sejuk, aku merapat dengan ibu bagi mendapatkan haba dan kasih, sambil mata memandang ke televisyen, yang ada rancangan berbicara berkenaan hari Valentine.

Akal aku waktu itu berputar. Aku tahu, aku boleh menggunakan situasi ini bagi mendapatkan sesuatu daripada ibu berkenaan cinta. Paling tinggi, ibu memberi restunya, atau yang paling bawah, ibu berkata, "jangan bercinta, habiskan dahulu pelajaranmu", dan aku boleh meneruskan hidup dengan alasan, 'aku tidak akan bercinta selagi belum habis belajar kerana itulah pesan ibu'.

"Memang hari Valentine adalah hari orang Islam Sepanyol disembelih?" soal aku, memulakan bicara.

"Entahlah. Ibu tidak tahu. Bukan kamu tidak tahu, ada berbagai-bagai versi berkenaannya. Namun, walau banyak versi sekalipun, ia tetap tidak menutup ruang bagi umat Islam menyambut Valentine," jelas ibu, sehingga aku sedikit terkejut bercampur lucu, kerana jarang sekali ibu bicara begitu serius, selain pada waktu aku berbuat salah.

"Mengapa ibu nampak serius?" Aku tergelak kecil.

"Kerana kamu." Ibu memandang aku, dan aku tahu, itu pandangan penuh kasih sehingga aku boleh berasa hangatnya pandangan itu dalam hati.

"Mengapa saya?"

Seketika aku menjadi gusar. Adakah ibu tahu rahsia hati aku?

"Kamu perempuan, kamu masih muda, ada rupa, dan pasti ada ramai lelaki yang menjeling. Namun paling ibu risaukan, adalah hati kamu kerana ibu tidak mampu menjaga mahunya. Dan pasti, pada suatu ketika kamu akan jatuh cinta, dan pada ketika kamu jatuh cinta, ibu menjadi sangat khuatir." Mata ibu menceritakan apa yang diucapnya itu, adalah sangat dia maksudkan.

"Maksud ibu?" Aku kembali semakin ragu-ragu.

"Ibu setuju dengan semua perkara yang diperbuat pandai agama bagi menghalang budaya sambutan Valentine, tetapi secara tidak sedar, mereka menjadikan hari valentine itu sangat istimewa." Ibu semakin fasih bicaranya. Dan aku semakin tidak tahu ke mana ibu mahu membawa bicara seperti itu. Aku angguk kemudian diam.

Ibu tahu reaksi itu, itulah reaksi aku yang tidak faham.

"Istimewa itu bukan sekadar bermaksud kepada perkara yang diraikan, tetapi istimewa itu juga adalah pada perkara yang dilarang. Tidak ada masalah melarang hari Valentine bagi disambut, tetapi tanpa sedar ia akan membuatkan hari Valentine menjadi semakin istimewa, kerana kita hanya melarang hari, tetapi tidak menghilangkan maksud hari itu. Menghalang, menjadikan Valentine terasa istimewa, dan maksud hari itu ikut terasa istimewa. Dengan itu, pasangan kekasih boleh menyambut 'hari Valentine' pada setiap hari kerana ia dianggap istimewa. Jadi, walaupun kita berjaya pada 14 Februari, belum ada jaminan kita berjaya pada 15 Februari dan seterusnya." Ibu berhenti, menarik nafas selepas penerangan yang panjang.

Bagi menunjukkan kasih, aku bertanya juga, "Jadi, apa yang ibu mahu cadangkan?"

Ibu diam. Jelas dia mengatur bicara, sebelum dengan tatap kasih dia memandang aku.

"Ibu mahu menjaga kamu dahulu."

"Menjaga saya?" Aku mengerut dahi.

"Ya, menjaga kamu dengan memberitahu kamu sesuatu berkenaan cinta, supaya kamu mengerti bahawa cinta itu adalah sangat biasa. Tidak ada apa-apa istimewanya berkenaan cinta. Cinta itu sama biasanya dengan kuku yang boleh tumbuh selepas dipotong. Dan di situlah silapnya banyak manusia, kerana menganggap perasaan cinta itu sangat istimewa. Mereka menyangjungnya sampai hilang akal, kerana mereka tidak sanggup kehilangan sesuatu yang istimewa. Dan kamu sendiri, adakah kamu sanggup kehilangan sesuatu yang istimewa?"

Aku menggeleng, dan ibu terus menyambung,

"Manusia apabila sudah tidak sanggup kehilangan yang istimewa, mereka akan berbuat apa sahaja. Mereka menganggap ia sesuatu yang ajaib, padahal itu cumalah ilusi. Dan lebih menakutkan, pada ketika manusia menganggap cinta bukanlah berkenaan apa yang kita peroleh, tetapi adalah berkenaan apa yang kita beri, iaitu segala-galanya. Pada ketika tahap itu, maruah akan kita beri, keingkaran agama akan kita beri, dan iman juga akan kita tukarkan kepada cinta. Sedangkan, iman itulah yang perlu dianggap istimewa, bukannya cinta," jelas ibu, dan ada yang aku setuju walaupun banyak yang aku keliru.

"Jadi mengapa orang mengatakan cinta itu istimewa? Malah orang-orang pandai agama juga berkata begitu."

Dengan wajah tersenyum ibu memandang aku, "Anakku, cinta itu sangat biasa, kerana semua orang akan melalui perasaan cinta, tetapi tidak semua orang akan menikmati perasaan cinta, dan pada ketika cinta mampu dinikmatilah, barulah ia menjadi istimewa."

Aku pandang ibu, ibu terus-terusan tersenyum.

"Ibu sudah memberitahu kamu, iman lah yang perlu dianggap istimewa. Apa sahaja perkara baik yang dicampurkan dengan 'istimewa' akan menjadikan ia 'istimewa'. Begitu jugalah cinta. Cinta itu sangat biasa, tetapi apabila ia dicampurkan dengan 'iman' barulah ia menjadi cinta yang istimewa. Kamu tahu mengapa ia istimewa?"

Aku diam, keliru.

 
"Kerana, dengan campuran iman dan cinta, iman akan bertambah-tambah dan paling nikmat, adalah rasa cinta itu juga semakin bertambah banyak. Dan kamu tahu bagaimana kita mengenal cinta itu semakin banyak? Apabila, pasangan tadi tidak berhenti berusaha membahagiakan pasangannya. Sekiranya dahulu sering SMS, selepas nikah tetap berusaha SMS. Begitu jugalah sebaliknya, cinta akan terhenti apabila, ada antara pasangan sudah berhenti berusaha."

Aku mengerti bicara ibu itu, tetapi aku masih tidak mampu mengaitkannya dengan hari Valentine. Namun, tetap juga kata-kata ibu itu melegakan cinta dalam hati aku. Rupa-rupanya, ia cuma perasaan biasa, hanya kerana aku menganggapnya ia istimewa, maka aku berasa sangat tertekan.

"Itulah, yang ibu harapkan kepada bijak pandai agama. Melarang itu sudah betul, namun sekiranya terhenti setakat melarang, ia cuma menjadikan hari Valentine itu istimewa. Bijak pandai agama, selepas bercerita berkenaan asal-usul hari Valentine yang banyak versi itu, ceritakanlah juga berkenaan cinta Islam yang hanya ada satu versi. Ceritakanlah, berkenaan psikologi cinta, supaya ramai tahu, cinta itu sangat biasa, tidak perlu disambut, tidak perlu Valentine, tetapi ia perlu dinikmati, dan hanya ada satu cara menikmati cinta, iaitu bernikah.  Dan ingatlah anakku, cinta itu buta, dan nikah akan kembali membuka matamu."

Aku tersenyum lebar, dan seketika, aku kembali tenang, aku berasa seperti burung yang terbang di bawah pelangi pagi.

"Kalau saya jatuh cinta, bagaimana?" Aku mula berani mengusik ibu.

"Kalau kamu jatuh cinta, jadilah perempuan baik yang bercinta."

"Perempuan baik yang bercinta?" Aku pula kembali terasa diusik, apatah lagi melihat ibu menyuntingkan senyuman nakal.

"Perempuan baik itu adalah suatu proses. Jangan sesekali mencuba menjadi perempuan baik hanya dalam masa sehari, tetapi berusahalah menjadi perempuan baik sampai kamu mati. Kerana, pasti orang seperti kita ada melakukan dosa, tetapi bangkitlah kembali dengan taubat. Itulah perempuan baik bagi ibu, iaitu perempuan yang sentiasa berusaha menjadi hamba kepada Allah yang taat. Dan taat kepada Allah, kamu tahu ia bukan sekadar satu dua perkara, tetapi ribuan perkara, meliputi hal ayah ibu, suami, anak, jiran, ibadah, menjaga maruah, menjaga mulut, taubat, dan banyak lagi.  Itulah perempuan baik bagi ibu, perempuan yang sentiasa berusaha ke arah perkara yang baik-baik."

"Dan bercinta pula?" soal aku malu-malu.

Ibu tersenyum lebar, lalu berkata, "Sukar sebenarnya. Tetapi tetap ada petua. Pada ketika kamu  menerima lamaran seorang lelaki, pada ketika itulah kamu periksa kata-kata, yang mula-mula keluar daripada hati kamu. Perempuan biasa yang bercinta akan berkata dalam hati,  "Aku cintakan dia, sebab itu aku perlukan dia." Sedangkan perempuan baik, dalam hatinya akan berkata begini, "Aku perlukan dia, sebab itulah aku cintakan dia." Pada ketika 'perlu' yang datang terlebih dahulu sebelum cinta, kamu ada peluang menjadi perempuan baik yang bercinta. Kemudian semak maksud 'perlu' dalam hati kamu. Adakah kamu perlu lelaki beriman yang dapat membimbing, ataupun perlu kepada lelaki kaya yang dapat menyenangkan. Sekiranya kamu 'perlu' kepada lelaki beriman yang membimbing, kamu adalah perempuan baik yang bercinta."

Aku terus memeluk ibu erat-erat, aku cium pipi ibu, dan ibu cium dahi aku lalu berkata, "Ingat, kamu adalah harapan ibu, bukan sekadar di dunia tetapi di akhirat sana. Jadilah perempuan baik, bukan kerana ibu, tetapi kerana Allah, kerana ibu juga sangat menyayangi kamu seadanya kamu, kerana Allah."

- dipetik dari Artikel cerpen iluvislam.com

Hasil nukilan:
Bahruddin Bekri adalah penulis novel remaja. Beliau menghasilkan novel yang bertajuk Penulis yang Disayangi Tuhan, Hidup Penuh Cinta, Penulis yang Disayangi Tuhan dan sebagainya. Beliau juga banyak menghasilkan karya indah di blog http://dingin.blogspot.com/

Tuesday, February 7, 2012

Duit syiling baru

Perbezaan yang ketara ialah saiz nya yang lebih kecil untuk syiling 50sen, warna keemasan, dan berlekuk-lekuk dan lebih ringan.

Masa Afiq mula-mula dapat duit 10sen baru, Afiq ingatkan duit Singapore. Terus tak jadi guna. Tapi bile di teliti, baru lah perasan duit syiling baru rupanya. Jadi lepas ni jangan pelik kalau tengok duit macam token game. Tu syiling baru tu.