Persoalannya, adakah mereka ini begitu merbahaya sehingga perlu dilakukan sedemikian rupa? Adakah mereka memgunakan Pistol atau senjata untuk berhimpun secara aman? Adakah mereka mengasari pihak polis?
Pada jam 3.15 petang. Afiq mendapat berita yang amat mengejutkan bahawa sahabat Afiq telah ditahan polis disekitar tempat perhimpunan. Beliau telah dihantar ke Balai Polis Cheras untuk disoal siasat. Tetapi apakah kesalahan beliau? Beliau bukan seorang yang agresif dan hanya mempunyai camera video ditangan.
Mereka yang berhimpun bukan ganas. Jika benar 80000 orang yang berkumpul dengan aman tanpa ganguan polis dengan gas pemedih mata, bukan kah itu akan menguntungkan peniaga disekitar? Kalau jual air sekali pun, boleh jadi kaya.
Perhimpunan itu di adakan bagi membantah akta ISA ini yang diangap kejam. Bayangkan jika saudara mara anda ditangkap dan dipenjarakan tanpa ada perbicaraan di mahkamah. Adakah anda mahu begitu? Mungkin anda berkata orang-orang ini bodoh kerana membuat perhimpunan haram, tetapi mereka bersimpati keatas keluarga yang menjadi tahanan ISA. Jika terjadi kepada saudara anda bagaimana?
Petikan ini diambil dari Blog http://nikabduh.wordpress.com
Salam Kamunting,
Dia bertanya dalam bingung, “Bila ISA akan dimansuhkan?” Saya menjawab, menambah bingungnya, “Bila tiada lagi soalan ini daripada orang seperti kamu.” Dia jadi bengang pula dengan jawaban saya, lantas saya segera menyudahkan jawaban saya, “Kamu kena tanya, bila lagi nak turun buat demo anti ISA?”
Saya harap jawaban ringkas itu difahaminya. Dia tak bengap macam puak pro ISA yang bingung, bengang dan bengap itu. Dia kawan saya dan kawan saya semuanya anti ISA, hatta yang masih duduk dalam UMNO dan masih simpati pada UMNO. Kawan yang asyik nak tengok wujudnya kerajaan perpaduan UMNO-PAS yang telah diharamkan sebutannya dalam PAS kerana ianya bukan daripada idea PAS pun.
Yang akan memansuhkan ISA adalah rakyat. Jika Dato Seri Najib Tun Razak memansuhkannya, maka ia pastinya adalah atas tekanan dan kehendak rakyat. UMNO tidak mungkin memansuhkan ISA. Tidak mungkin! Tak percaya, tanyalah yang nampak cerdik sikit dalam UMNO seperti Zahid Hamidi. Dia akan jawab mustahil. Itu yang nampak cerdik. Janganlah tanya pada yang bodoh – bodoh daripada kalangan mereka, kelak hati anda akan sakit tak pasal – pasal. Mereka akan jawab, demi Allah, dengan darah, nyawa dan jiwa raga, ISA kami akan pertahankan.
UMNO tak akan cerdik sehinggalah rakyat menjadikannya cerdik. Kerja UMNO adalah membodohkan rakyat. Ia perjuangan bersilang. Samada rakyat jadi bodoh kerana UMNO atau UMNO jadi cerdik kerana rakyat. Jika UMNO tak mahu jadi cerdik juga di zaman rakyat dah jadi cerdik bijaksana ini, UMNO akan tumbang. Esok lusa, UMNO pasti tumbang.
Jangan tanya bila UMNO nak tumbang? Tanya, bila nak turun lagi buat demo? Itulah soalan rakyat yang dah cerdik dan tak dimakan bodoh UMNO!
Demontrasi, atau tunjuk perasaan atau turun beramai – ramai di jalan raya di sisi pemerintah adalah menyusahkan awam, merugikan negara dan kerja sia – sia buat diri sendiri. Hatta di Iran sekalipun, demontrasi adalah menakutkan pemerintah.
Sebabnya hanya satu. Demontrasi cukup menekan dan paling berkesan menekan dalam damai dan aman. Kerajaan yang memerintah akan tertekan. Sesiapapun tak suka ditekan, apatah jika mereka ditekan di atas kesalahan yang mereka lakukan. Lantaran itu, kerja pemerintah adalah memburukkan pandangan rakyat terhadap demontrasi, menghalangnya dan menggagalkannya sekalipun ia terpaksa dibayar nyawa dan darah.
Dengan apa yang kerajaan kita dah lakukan untuk mengekang penglibatan rakyat dalam demontrasi, ia sudah cukup untuk menghalang rakyat menyertainya. Siapa berani nak bertempur dengan polis dan FRU yang siap dengan tukul dan kapak, juga air kencing penzalim yang disembur ke atas rakyat sampai muntah – muntah jadinya? Sedang syarat penyertaan dalam demontrasi adalah tanpa membawa apa – apa senjata kecuali tangan kosong untuk mempertahankan diri jika dikerjakan tukul dan kapak itu?
Tetapi malang bagi kerajaan! Sial buat kerajaan bila melihat rakyat dah semakin berani. Mereka keluar di jalan – jalan raya dengan hanya berbekalkan secubit garam dan sedikit air buat menahan diri dari sesak nafas, muntah – muntah dan tersungkur di hadapan penzalim. Malanglah buat kerajaan kerana kebanyakan mereka adalah anak – anak muda berpendidikan tinggi, wanita – wanita berjiwa jantan dan orang – orang tua yang berjiwa muda.
Apabila darah menjadi murah di hadapan hak dan maruah diri, kebenaran pasti di ambang kemenangan.
Jangan tanya bila? Tanya, bila lagi kita nak turun di jalan raya? Tanya, bila lagi nak demo anti ISA?
Ketika saya mundur ke belakang mengelak muntah dan rebah, saya masih melihat kelibat anak – anak muda yang tetap tegap, menari – nari dan melambai – lambai ke arah FRU yang menerkam bagai harimau terlepas sangkar. They love trouble!
Kenapa ini berlaku? Jawabnya satu. Rakyat sudah lama ditekan. Kini giliran pemerintah untuk ditekan. Mula – mula anda melihat tekan – menekan berlaku. Tetapi sunnah Allah akan mengambil tempat. Hari – hari itu adalah gilir – menggilir. Esok adalah giliran rakyat. Giliran kebenaran naik ke atas!
Jangan tanya bila? Nak jawaban juga, jawablah, esok. Besok!
Apabila kebenaran naik ceding, digilai dan dipuja, kebatilan akan lenyap dan hilang tanpa tunggul. Buih mana ada tunggul?
ISA adalah kebatilan dan lambang kebatilan pemerintah negara. Jika anda membilang – bilang kebaikan pemerintah hari ini, mari saya bilangkan untuk anda kebaikan Firaun!
Pemerintah yang baik dan adil bukanlah yang membuat kebajikan, tetapi yang menolak kejahatan daripada rakyat. Anda menyelimuti bangkai dengan hamparan permaidani merah. Anda menaungi tanaman ganja dengan rimbunan jagung. Anda mungkin dikagumi, tetapi anda adalah Firaun rakyat!
ISA adalah bangkai jahiliyah. ISA adalah jerangkap samar buat kebenaran yang tersembol di hadapan rakyat. ISA adalah pedang terhunus buat memenggal kebenaran dan pejuangnya. Di dalamnya anda melihat orang – orang jahat seperti komunis, penyeludup dan pembunuh, tetapi mereka hanyalah benteng berguna buat pemerintah menutupi kebenaran yang dicekik dan dipancung. Di sebalik mereka adalah himpunan pejuang – pejuang kebenaran negara yang ditangkap tanpa bicara, tanpa hak mempertahankan diri dan tanpa tuduhan di mahkamah!
Hak kita adalah kebebasan. Kebebasan adalah hak kita semenjak kita dilahirkan ibu. Ibu kita tidak menebuk hidung kita untuk ditarik – tarik bagai kerbau di bendang. Ibu membebaskan kita keluar kerana ibu tahu kita bukan lembu. Kita adalah anak ibu yang tahu untuk pulang kepada ibu yang menyayangi dan membelai. Jika ibu sangsi, ibu memberi hak untuk kita mempertahan diri dihadapannya.
Sedari kecil kita menikmati kebebasan. Ketakutan hanyalah atas kesalahan sendiri terhadap ibu yang menyayangi. Mengapa pemerintah datang untuk menyentap kalung kebebasan ini daripada kita?
Mereka marahkan peragut sedang merekalah peragut rakyat! Mereka marahkan rogol sedang merekalah perogol rakyat!
Mereka mendakwa dengan ISAlah negara aman. Dengan ISAlah Singapura aman. Dengan ISAlah Amerika belajar menggunakannya memburu pengganas al Qaeda. Mereka mendakwa tanpa ISAlah Thailand huru – hara. Indonesia huru – hara dan dunia huru – hara.
Bangsatnya dakwaan dan jawaban mereka. Mereka beriman dengan slogan ‘matlamat menghalalkan cara’ yang dicipta jahiliyah dan Yahudi. Asalkan aman, buatlah undang – undang apa pun! Apakah mereka lupa bahawa Firaun juga mengamankan negaranya dengan cara ini? Bukan setakat aman, bahkan dia berjaya menunduk sujudkan rakyatnya. Itulah puncak keamanan.
Apabila manusia sujud pada tuhannya, disitulah hujung keamanan.
Adakah Musa alaihissalam diutuskan untuk membunuh keamanan? Ya, keamanan yang palsu. Adakah Muhammad sallallahu alaihi wasallam diutuskan untuk menghuru – harakan keharmonian sedia ada di Kota makkah? Ya, keharmonian yang palsu sama sekali.
Zahid Hamidi berkata, saya pernah ditahan ISA dan saya akur bahawa itu adalah hak kerajaan! Zahid yang bodoh!!
Pertama, dia akur dia buat salah. Hari ini pengacau ketenteraman negara inilah yang jadi menteri negara!
Kedua, jika dia yakin tak salah tetapi rela juga ditahan ISA, maka inilah hamba negara yang bacul. Lembu pun tahu mempertahankan diri bila diasak.
Ketiga, adakah Zahid menganggap semua tahanan ISA adalah penjenayah sepertinya sehingga tak perlu mempertahankan diri dan hak?
Keempat, adakah Zahid mahu semua tahanan ISA menjadikannya teladan, bahawa sabar itu kunci kemenangan sampai dapat jadi menteri? Atau redha itu kunci ketenangan sampai tak perlulah lawan pemerintah? Teladan adalah akur pada semua nafsu pemerintah walaupun kita benar?
Kelima, adakah Zahid mengira air mata anak – anak dan isteri tahanan adalah air mata kambing biri – biri, sia – sia dan tanpa simpati untuk dihulurkan?
Zahid, kau perlu ada mata, telinga dan hati yang hidup untuk mendegupi jantung rakyat yang dizalimi. Jika kau mahu hati yang hidup, hiduplah bersama mereka yang dizalimi, bukan bersama mereka yang zalim dan menzalimi.
Walau apapun berlaku di hadapan, ISA yang isinya adalah resepi lazat buat makanan penzalim negara, ia tetap akan tumbang dan hancur. Kebangkitan rakyat adalah kerana mereka terhimpit. ISA adalah lambang himpitan dan kesengsaraan pejuang rakyat.
Kebangkitan ini adalah kebaikan. Jika ianya ingin diberkati Allah, kebangkitan mestilah bersama Islam. PAS tugasnya inilah. Bangkit dan bangun bersama Islam!
Hidup hidup, hidup rakyat! Hancur hancur, hancur ISA!
Hidup hidup, hidup Islam! Hancur hancur, hancur BN!
0 Komen Pembaca:
Post a Comment
Sila Komen dengan ikhlasnya