Hari ini kita digemparkan dengan berita Perkhemahan pelajar di Perak menjadi tragedi yang mengorbankan pelajar akibat jambatan gantung yang baru dibina 2 minggu lepas runtuh. Susulan dengan itu pelbagai pihak lah tampil untuk mengadakan siasatan dan mengkaji bagaimana ini berlaku. Pada Afiq beberapa aspek keselamatan diabaikan. Kalau dilihat dari program tersebut, seramai 298 pelajar dari 64 buah sekolah terlibat. Tetapi kenapa pelajar tersebut tidak di kawal dengan sepatutnya. Kalau Afiq yang menjadi urusetia program perkemahan tersebut, kawasan jambatan gantung itu adalah kawasan larangan bagi pelajar. Jika ingin menyeberangi jambatan itu mestilah ditemani oleh beberapa orang guru. Kalau tak buat begini, pastilah pelajar melompat2 dan bermain disitu.
Lagi satu soal pembinaan stuktur jambatan tersebut. Takkan lah pembinaan sebegitu pun nak di songlap juga. Bagaimana pemilihan kontraktor yang terlibat? Tolong lah ambik serius benda-benda begini lebih2 lagi melibatkan keselamatan.
Afiq menulis entri ini sebenarnya bila teringatkan yang Afiq pun akan mengikuti perkhemahan pelajar tahun 6 di air terjun Maran Kuantan pada 13 & 14 November ini. Seramai 75 orang pelajar dan 20 orang guru terlibat. Bila telah terjadi kejadian seperti ini, Afiq rasa seram sejuk pula memikirkannya. Yer lah, soal keselamatan mesti menjadi aspek utama, tetapi jika nak berlaku kejadian yang tak di ingini hanya Allah yang sahaja yang mengetahui.
Bagaimana dengan persediaan yang perlu ada? Perlukan kami guru-guru menyediakan pagar penghadang di setiap tempat yang bakal disingahi. Yang membimbangkan Afiq pelajar tidak dapat mengawal diri bila berada disana. Dah jumpa kawan kan, macam-macam perkara boleh berlaku. Yang penting, Doa dipanjatkan mengiringi perjalanan kami nanti. Moga semuanya selamat diredhai oleh Allah SWT. Amin..
Berikut berita mengenai Perkhemahan 1 Malaysia
Cara pembinaan jambatan gantung menyeberang Sungai Kampar di Kuala Dipang dekat Kampar yang runtuh menyebabkan seorang murid lemas dan dua lagi hilang semalam hangat dipersoalkan oleh pelbagai pihak yang berada di tempat kejadian.
Kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan terhadap kejadian itu namun kalangan ibu bapa dan orang ramai yang berada di tempat kejadian, membuat andaian terhadap aspek pembinaan jambatan berkenaan sebagai punca utama kejadian.
"Saya seperti tidak percaya apabila melihat saiz konkrit pelapik tiang jambatan... ia terlalu kecil dan tiada cerucuk," kata seorang penduduk yang enggan dikenali.
Beliau yang mendakwa berpengalaman dalam sektor pembinaan berkata saiz konkrit berkenaan yang kecil tidak sepadan dengan tiang besi jambatan yang turut menampung kabel besi jambatan.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam tadi, 19 murid lain sempat diselamatkan oleh guru dan pengawal SK Kuala Dipang apabila mereka terhumban ke dalam sungai yang mengalir deras apabila sepasang tiang berkenaan runtuh semasa mereka sedang menyeberang Sungai Kampar untuk jamuan.
Murid berkenaan sebahagian daripada 298 murid dari 64 buah sekolah rendah dari Tronoh, Batu Gajah dan Kampar yang menyertai aktiviti kokurikulum perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan.
Seorang bapa murid, S Thiagaran, 42, berkata beliau hairan apabila melihat konkrit bagi tiang jambatan itu tidak dipasang besi cerucuk.
"Dari pemerhatian saya, simen pada kaki jambatan ini juga masih belum kering dan ia menunjukkan keadaan yang tidak selamat," katanya.
Jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu baru siap dua minggu lepas dan menurut seorang anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Kuala Dipang, ia dibina bagi menggantikan sebuah jambatan gantung lama yang telah runtuh sebelum ini.
Seorang lagi bapa murid Jaafar Arif, 65, berkata tindakan tegas perlu diambil hasil daripada siasatan yang dijalankan pihak berkuasa kerana kejadian itu telah menyebabkan kehilangan nyawa.
Seorang penjawat awam yang berpengalaman dalam kegiatan lasak pula berpendapat bahawa jambatan gantung biasanya dihadkan bilangan pengguna kerana ia berbuai-buai atau bergoyang dan boleh menyebabkan pengguna terjatuh jika tidak berhati-hati.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat tempat kejadian (foto, bertopi) mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa siasatan yang diketuai Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan dianggotai para pegawai daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan wakil kerajaan negeri Perak.
Jawatankuasa itu akan membuat siasatan terperinci bagi menentukan fakta sebenar yang membawa kepada insiden berkenaan dan membentangkan laporan itu kepada beliau, katanya.
"Kita akan bagi mereka tempoh masa yang sesuai supaya hal ini dapat dilaporkan dengan lengkap dan terperinci," katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian pada Selasa.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selepas melawat tempat kejadian malam tadi turut mengarahkan siasatan terhadap aspek pembinaan jambatan berkenaan sama ada mengikut spesifikasi. BERNAMA
Tuesday, October 27, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen Pembaca:
Post a Comment
Sila Komen dengan ikhlasnya