Kecurigaan terhadap kebebasan badan kehakiman membuat keputusan dengan tegas dan adil nyata tidak berasas; sekurang-kurangnya jika keputusan kes pertikaian siapa Menteri Besar Perak yang sah dijadikan ukuran.
Semalam, Hakim Abdul Aziz Abdul Rahim membuktikan Hakim Malaysia mampu dan bersedia membuat keputusan menurut lunas undang-undang dan tidak gusar menongkah arus dengan memberi kemenangan kepada tuntutan pihak yang bersaing dengan kerajaan hari ini.
Keputusan beliau sekaligus merobah lanskap politik negara. Amalan yang tidak demokratik kerana mengikut “undang-undang rimba” seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, nyata bertentangan dengan undang-undang.
Memaksa dan mengheret speaker keluar dari Dewan Undangan Negeri semata-mata untuk menabalkan seorang speaker baru sebagai simbol kuasa memerintah negeri Perak memang jelas satu perbuatan yang bukan sahaja kurang sopan, tidak bertamadun dan bacul. Malah ia bersifat jenayah. Maka dapatlah ia dilihat sebagai penyempurnaan “undang-undang rimba” Umno dan Barisan Nasional.
Dunia tahu tentang kedurjanaan ini. Media baru, terutama internet, dapat mempamerkan kebiadapan, kegelojohan dan juga betapa pendeknya akal pemimpin-pemimpin politik dari Umno dan Barisan Nasional.
Jika Zambry Kader tidak terburu-buru memanggil sidang Dewan Undangan Negeri pada Khamis, 7 Mei 2009, darjah malu yang terpalit di wajah Umno sempena hari jadinya yang ke 63 semalam, tidaklah seburuk ini.
Zambry sepatutnya bersabar hingga Isnin, 11 Mei untuk mengetahui keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung isu siapa Menteri Besar Perak yang sah. Namun kegopohan Zamry (atau orang atasannya dalam parti) memanggil sidang DUN itu menimbulkan pelbagai persoalan.
Pertama, apakah langkah itu menunjukkan tahap keyakinan Zambry dan juga pemimpin-pemimpin tertinggi Umno bahawa mereka pasti menang kes mahkamah untuk menentukan siapa Menteri Besar yang sah?
Lantaran itu, mereka beranggapan soal bila sidang Dewan Undangan Negeri perlu diadakan tidak penting. Mungkin yang perlu bagi mereka ialah menunjukkan kepada rakyat terutamanya siapa yang berkuasa di Perak.
Percaturan ini memang tidak langsung mengambil kira sentimen rakyat. Pada satu segi Najib menasihatkan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional supaya bersikap jujur dan ikhlas dalam urusan mereka dengan rakyat. Namun mengapakah Najib mengizinkan Zambry dengan angkuhnya memanggil sidang Dewan sebelum dengan rasminya ditabalkan oleh Mahkamah sebagai Menteri Besar?
Bukankah Najib sendiri yang menegaskan bahawa rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan? Jika benar mengapa Najib sanggup menggerakkan beratus tenaga Polis Simpanan Persekutuan, preman dan juga pasukan bantuan lain untuk mengawal dan “menceroboh” kemuliaan Dewan Undangan Negeri semata-mata untuk membuktikan siapa yang berkuasa?
Bukankah penggemblengan pasukan keselamatan itu menagih perbelanjaan dari dana rakyat? Mungkinkah gerakan Khamis lalu boleh dielakkan jika sidang Dewan diadakan selepas hakim membuat keputusan dan perbelanjaan berkenaan digunakan untuk menambah baik perkhidmatan dan kebajikan anggota pasukan polis sendiri?
Sidang 7 Mei adalah keputusan politik. Tentu Najib dan Zambry tahu implikasi ekonomi dan keselamatannya. Tidakkah ini menggambarkan sikap terlalu yakin atau sebenarnya tidak ambil peduli kepentingan rakyat? Wakil rakyat jenis apakah mereka ini?
Kepura-puraan adalah jenama khas ahli politik sebegini. Dalam usaha membolot kuasa mereka boleh bercakap perkara yang lunak-lunak tentang demokrasi, hak rakyat, dan juga kebebasan, namun dalam pada itu untuk memadamkan penentangan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dari Pakatan Rakyat mereka tergamak menggunakan semua sumber dan aparatus kerajaan.
Najib semalam berkata Barisan Nasional akan membuat rayuan terhadap keputusan hakim yang tidak menyebelahi Umno dan Barisan Nasional. Dalam keadaan ini, tidakkah lebih waras jika isu ini diselesaikan dengan memulangkan hak menentukan kerajaan kepada rakyat? Apakah yang ditakuti Najib?
Seperkara lagi ialah persoalan apakah langkah memanggil sidang DUN Khamis lalu termasuk dalam rencana besar Najib untuk berkuasa penuh di Perak. Bagaimanapun jika itulah keadaannya, ternyata rencana ini gagal. Kedurjanaan, kebiadapan dan ketololan amat menyerlah daripada strategi ini. Dunia mentertawakan Malaysia. Dunia memandang serong sistem dan amalan politik kita.
Pagi ini Datuk Seri Nizar Jamaluddin menghadap wakil Sultan Perak. Jika mengikut keputusan sidang Dewan Undangan Negeri bawah pokok yang telah mengkagumkan dunia kerana kegigihan perjuangan menghayati demokrasi, kerajaan Pakatan Rakyat akan memohon Sultan membubarkan Dewan Undangan Negeri. Jika diperkenankan, tentu rakyat akan ingat onar yang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional.
Sesungguhnya yang jelasnya, parti yang sudah menjangkau usia 63 tahun ini sudah semakin uzur untuk memimpin negara; bukan kerana tiada orang muda dan tenaga baru untuk meremajakan parti tetapi sudah lebih setengah abad parti ini berkeyakinan hanya Umno sahajalah yang layak memimpin.
Namun, menilai tragedi di Perak, Umno nyata tiada kebijaksanaan dan hemah untuk mengekalkan penguasaannya.
0 Komen Pembaca:
Post a Comment
Sila Komen dengan ikhlasnya