Monday, May 18, 2009
SIGMA : BOHSIA - SOLEHAH
Sejak akhir-akhir ini, hampir setiap hari ada sahaja berita mengenai gejala sosial yang melanda masyarakat dan perlakuan buruk itu bukan hanya membabitkan golongan remaja tetapi juga di kalangan dewasa. Di antara beberapa fenomena gejala sosial yang amat membimbangkan kita ialah penagihan arak, bohsia, pergaulan seks bebas, mat rempit, penderaan kanak-kanak, rogol, melepak dan penagihan dadah.
Bohsia terjadi adalah rentetan daripada perbuatan merempit (lumba haram motosikal), yang mana memenangi perlumbaan haram tersebut akan mendapat habuan atau hadiah perempuan yang dikenali sebagai bohsia.
Islam merupakan agama yang syumul dan merangkumi segala aspek kehidupan. Setiap perbuatan yang dilakukan oleh hamba sama ada berupa kebaikan atau kejahatan, akan diberi ganjaran dan balasan yang setimpal dengan apa yang dilakukan. Semua agama di dunia menyeru umatnya melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Tetapi masih ramai penganut agama yang tidak mengikut ajaran yang telah ditetapkan sebaliknya membuat sesuatu sesuka hati tanpa batasan. Akibatnya, lahirlah masyarakat yang mengabaikan aspek akhlak dalam kehidupan.
Di dalam Surah Al-Rum, 30 : 41 yang bermaksud:
“ Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.
Bohsia menurut pandangan Islam yang berlaku sekarang ini adalah disebabkan runtuhnya akhlak di kalangan muda mudi masa kini. Kekalnya sesuatu umat itu adalah kerana ketinggian dan kesempurnaan akhlaknya. Apabila lenyap dan runtuh akhlaknya maka runtuh dan lenyaplah umat tersebut. Ini dapat dijadikan pengajaran daripada peristiwa sejarah umat Islam terdahulu.
Sebuah syair Arab pernah menyebut:
“ Sesungguhnya bangsa itu tergantung kepada moralnya, bila rosak moral maka binasalah bangsa itu”. (Muhammad al-Ghazali, 1987 : 71)
Akhlak atau moral berperanan sebagai tapak kepada kekuatan dan ketahanan sesuatu bangsa. Akhlak juga merupakan syarat mutlak kepada kemajuan dan ketinggian umat dan tamadun seterusnya menjadi syarat mutlak pula kepada kekal dan keterusan umat dan tamadun tersebut. Mengamalkan amalan Islam adalah cara yang terbaik untuk mencegah segala jalan yang menyebabkan kezaliman dan masalah sosial yang sedang meruncing.
Bagi mengelakkan keruntuhan akhlak, rasul dan Nabi diutuskan oleh Allah SWT untuk membimbing manusia kearah kehidupan yang mulia dan berakhlak. Pentingnya kedudukan akhlak dalam Islam sehingga menjadi antara misi utama diutus Rasulullah SAW ke dunia ini.
“ Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia “.(Hadith)
Prinsip kejayaan masyarakat Islam yang diasaskan oleh Rasulullah SAW terletak pada kesungguhan serta iltizam mereka yang luar biasa sifatnya. Mereka mentaati segala perintah Allah SWT serta menjauhi laranganNYA. Dengan kata lain, apa juga bentuk usaha yang dilakukan oleh mereka berpaksikan keredhaan Allah SWT serta Rasul-NYA. Tidak sama sekali melewati sempadan yang akan mengundang kemurkaan-NYA.
~Melangkah dan terus melangkah mendidik bohsia menjadi solehah~
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen Pembaca:
Post a Comment
Sila Komen dengan ikhlasnya